Sunday 26 February 2012

Hadith dan Sains

Hadis-hadis yang musykil dari sudut ilmu sains ialah hadis-hadis yang memberi maksud atau pengajaran yang tidak selari dengan penemuan dan fakta sains masa kini. Ada di antara hadis-hadis ini yang terasing dengan sains, ada yang bertentangan dengan sains dan ada yang dibuktikan salah oleh sains. Sebenarnya hadis-hadis yang dianggap musykil ini hanyalah merupakan sesuatu yang wujud pada pandangan zahir seseorang. Sebenarnya tidak akan wujud sebarang pertentangan antara hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan alam kehidupan ini (yakni sains) kerana kedua-duanya adalah wahyu dan penciptaan yang berasal daripada sumber yang sama iaitu Allah ‘Azza wa Jalla. Adakah hadis yang dianggap bertentangan tersebut sahih isnadnya dan benar-benar berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ? Adakah hadis yang dianggap bertentangan tersebut telah diterjemahkan atau difahami dengan tepat ? Adakah fakta sains tersebut sesuatu yang nyata (established fact) atau hanya teori yang belum dipersetujui secara jumhur oleh para ahlinya ? Apakah sudah dipertimbangkan kemungkinan bahawa hadis musykil tersebut sebenarnya menerangkan sesuatu yang pada hakikatnya masih belum dijangkau ilmunya ? Adakah hadis yang dianggap bertentangan tersebut asalnya disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai satu ilmu sains atau hanya sekadar apa yang sesuai dengan suasana masyarakat di sekeliling baginda ? PERTAMA: Sunnah yang termasuk dalam urusan syari‘at seperti pegangan akidah, kaedah peribadatan dan sebagainya. Dalam sunnah yang pertama ini wahyu bersifat memerintah manakala Rasulullah hanyalah sebagai penyampainya. KEDUA: Sunnah yang termasuk dalam urusan ijtihad baginda sebagai seorang pemimpin seperti kaedah kepimpinan negara, strategi peperangan dan pengurusan masyarakat. Dalam sunnah yang kedua ini wahyu bersifat membimbing dengan memberi beberapa petunjuk asas agar tidak terkeluar dari batas yang diredhai syari‘at. KETIGA: Sunnah yang termasuk dalam urusan harian baginda sebagai seorang manusia seperti cara tidur, menyikat rambut, berpakaian dan sebagainya. Dalam sunnah ini wahyu bersifat memerhati dan menegur agar setiap perbuatan harian ini termasuk dalam lingkungan teladan hasanah yang dapat dicontohi oleh umat baginda.

No comments:

Post a Comment