Tuesday 1 May 2012

Aku Seorang Kerani



Sedikit sebanyak tentang diri yang kerdil ini. Bukan untuk masuk bakul angkat sendiri tetapi untuk aku lebih menginsafi. 

 Kekadang diri ini malu bila berjumpa orang yang tidak mengenali.  Mereka lebih mesra memanggil ustaz pada diri yang langsung tiada kelulusan tinggi agama.  Tapi aku bersyukur kerana mungkin mereka nampak baik agaknya.

Aku tidaklah tinggi ilmu agama tetapi gemar bertanya dan bersila di hadapan ayah yang suka berbicara agama sejak aku tadika lagi.  Ayah asalnya ada kumpulan muzik sendiri.  Orang lama katakan.  Tetapi meninggalkan alam hiburan setelah malu dengan seorang imam yang langsung tidak melarang berhibur tetapi selalu menegur agar solat berjemaah.  Maklumlah balairaya tempat berlatih muzik dekat sangat dengan masjid.

Kisah mulanya berbunyi begini.  Aku telah dilahirkan di sebuah perkampungan felda.  Ayahku bekerja sebagai buruh di kilang sawit di mana abang dan kakakku sudah lahir ketika itu. Mereka dilahirkan secara susah di sebelah utara sana.

Ibuku merupakan seorang anak kepada Sheikh Haji bahkan ayah pula seorang anak kepada kerabat di raja kerajaan lama di sebelah utara sana.  Ayah membawa ibu untuk berdikari dan hidup secara susah dulu, berdoa agar senang kemudian hari.

Aku dilahirkan dengan penuh sederhana.  Dengar khabar aku dilahirkan ketika ibu hendak melangkah ketangga rumah saudara ketika itu.  Setelah aku lahir, kami sekeluarga berpindah tidak lama itu.  Kami berpindah setelah ayah berpeluang hidup sebagai seorang peneroka di salah sebuah kawasan di Pahang Darul Makmur.

Aku dididik sebagai seorang anak yang hidup di masjid setiap kali masuk waktu.  Ayah gemar solat berjemaah dan menalaqqi ilmu agama setiapkali kuliah diberi oleh imam di tempat baru ini.  Kitab yang ayahku habis belajar adalah karangan seorang ulama terkenal Sheikh Wan Ali Kutan dan beberapa kitab lain.

Rupanya ayah boleh berubat orang.  Baruku tahu apabila aku sentiasa melihat ada orang sering minta ayah membantu.  Ayah memang menerima ijazah perubatan islam dari ayahnya sendiri dan menerima beberapa cara perubatan ketika belajar dari imam-imam di masjid.

Aku mula membesar sebagai seorang kanak-kanak sekolah rendah sehingga lahirlah adik kembarku.  Kehidupan masjidku berjalan seperti biasa.  Aku memang dibesarkan dengan didikan agama dari ayahku sendiri.  Ibuku pandai menyulam kopiah sehinggakan dari kecil aku memang berkopiah hasil sulaman ibu sendiri.

Sedikit kelebihan diriku ialah aku bersolat dengan berserban hasil lilitan ayah sehinggakan kini aku masih berserban ketika solat hasil kebiasaanku dari kecil.

Kakak dan abangku tidak berpeluang seperti diriku.  Mereka berdua semasa kecil bersama nenek dan semasa menengah berjauhan kerana duduk di sekolah berasrama.  Manjaku dengan ayah dan ibu lebih dari mereka dan memanglah cemburu dari mereka pasti tertanam.

Tapi aku sekarang berebut kasih sayang dengan adik kembarku pula.

Aku mula membesar sebagai seorang pelajar yang sederhana pandai berbanding keluarga yang lain.  Abangku kini mempunyai dua Ijazah dalam Negara dan luar Negara.  Walaupun aku anak lelaki tetapi aku tetap tidak boleh mengejar seperti abangku memandangkan aku memang sangat lemah belajar dan berada di dalam aliran sastera berbanding abang dan kakakku yang berada di aliran sains.

Setelah aku tamat menengah ayah menyuruh aku berdikari dan tempat pertama aku adalah bekerja di estet.
Aku mula bekerja ditengah belantara  berkawan dengan haiwan-haiwan ganas dan berbisa yang kekadang terjumpa semasa menjalankan tugas sebagai ketua pekerja bagi Tenaga Pekerja Asing.  Berbagai pengalaman yang aku lalui sehinggakan aku banyak kali bertukar tempat kerja tetapi sama berada di dalam sebuah hutan juga.

Sehinggalah aku mula ditawarkan belajar sebagai seorang pelukis pelan di sebuah institusi pendidikan selama 2 tahun dan tamat dengan jayanya setelah itu.  Aku mula bekerja bersama ayah sebagai pengusaha ladang ayam daging meninggalkan sijil Pelukis Pelan yang aku terima tetapi aku dan ayah berhenti setelah mengusahakan agak lama ternakan ayam ini.  Ayah mula mengusahakan ladangnya dan aku pula bekerja sebagai kerani di Bentong Pahang.

Semasa di bentong aku mula berguru dengan seorang mudir (Al Marhum) disebuah pondok di Ulu Yam, Kuala Kubu Baru sehinggakan aku diizinkan dengan beberapa ilmu agama dan ilmu perubatan islam dari beliau.

Aku mula berpindah ke Kuala Lumpur Setelah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita pilihan hati.
Dengan izin Allah aku dikurniakan seorang anak perempuan setelah beberapa minggu kereta kesayanganku dicuri bersama pakaian bayi yang aku telah sediakan di dalam kereta.  Aku kehilangan hampir RM 5000 setelah 3 kali berpindah semenjak kehilangan kereta memandangkan isteri menjadi takut semejak itu.

Kini aku tinggal di Selangor bersama isteri dan anak perempuan.  Dengan izin Allah aku dikurniakan pula seorang anak lelaki membuatkan ayah dan ibuku bergegas datang dari Pahang kerana cucunya bertambah seorang lagi menjadi 5 orang jika dikira bersama abang dan kakakku sekali.

Sedih dan pilu setelah ayah dan ibu pulang aku mendapat khabar anakku dikategori sebagai pengidap jantung berlubang PDA dan ASD.

Ayahku datang semula bergegas ke Hospital Kuala Lumpur.  Aku ingat pesanan ayah, “Belajarlah, jangan bergantung pada aku sepenuhnya”.  Semestinya aku memang sangat manja dengan ayah maklumlah doa ayah selalu makbul InsyaAllah.

Sebenarnya ayahku sangat letih memandangkan baru sahaja berulang melihat abang iparku menjalani pembedahan pada paru-parunya. 

Untuk mengelak ayahku kerap berulang aku serahkan anak perempuanku berumur 2 tahun ketika itu untuk jagaan ibuku melalui ayahku.  Jadi ayah dan ibu hanya berulang 2 minggu sekali melihat cucunya di hospital sambil membawa anak perempuanku kerana merindui ibunya.

Isteriku terpaksa bercuti lama untuk menjaga anakku sementara menunggu hari untuk pembedahan.  Aku mula terasa terhimpit, tidak menjaga kesihatanku sendiri.  Hinggakan mataku mula sentiasa melihat sesuatu yang tidak orang lain lihat disebabkan tidak cukup tidur.

Aku menjadikan sebuah kerusi di pintu masuk Hospital kanak-kanak untuk berehat dan tidur setiap kali pulang kerja kerana mudah apa-apa perkara sehingga semenjak itu berbagai-bagai jenis orang gila rupanya sama-sama menjadikan tempat tidur berhampiran aku.

Satu perkara yang paling aku tidak mahu mendengar  apabila terjadi satu perkara yang sangat menyentuh dan permulaan kisah sebenar perubahan hidupku.

Ketika itu aku baru sahaja selesai solat jumaat.  Aku terasa sesuatu,  tiba-tiba gegaran telefon mengejutkan aku. Abang! Adik aku mebuat panggilan menyatakan sesuatu buruk berlaku. Sedih,pilu dan tersentap hati.
Ayahku yang aku jadikan teman berbicara agama terlibat dengan kemalangan jalanraya ketika selesai solat jumaat.  Kakinya tergiris dengan brek motosikal menyebabkan hampir putus dan kepalanya terhentak di jalanraya.

Aku bergegas ke Pahang di mana ayahku telah dikejarkan ke Hospital Besar Kuantan.  Semasa ayahku kemalangan tercampak roti yang dibelinya untuk memberi kepada anak perempuanku yang sedang dijaga.
Aku teringat pesanan ayahku,“Belajarlah, jangan bergantung pada aku sepenuhnya”.  Aku menangis kerana pesanan itu teringat kembali semasa memandu menuju ke Hospital Kuantan untuk melawat ayahku yang tercinta.

Ya Allah!, kau sembuhkanlah ayahku.

Sebenarnya aku ke Kuantan bersama isteri dan anak setelah meminta izin untuk keluar melawat ayahku.  Pesanan Doktor agar datang semula ke Hospital nanti.

Ayahku dekat 2 minggu  di Hospital dan sudah boleh pulang ke rumah.  Tetapi doctor berharap agar kami sendiri dapat memulihkan ingatan ayah kembali.

Aku, abang, adik-adik mula saling ingat mengingat agar taat kepada Allah kerana orang yang sentiasa menegur adalah ayahku sebelum ini.

Aku terpaksa pulang semula ke Selangor kerana ikatan kerja dan isteriku menjaga anak dirumah sebelum dihantar ke hospital lain yang lebih hampir dengan kediaman kami.

Sebenarnya semenjak ayahku kemalangan aku telah mula menghadiri kuliah-kuliah agama sehinggakan aku telah berguru dengan beberapa ulama di antaranya bekas imam besar Masjid Negara, bekas pegawai agama istana, dan beberapa ulama’ tanah air yang sangat aku sanjung sehingga kini.

Semasa anakku berada di sebuah hospital lain yang berhampiran di rumahku Selangor mengantikan Hospital Kuala Lumpur beberapa bulan lamanya aku mula mendaftarkan diri untuk belajar talaqqi hadith dari ulama-ulama di sebuah universiti tempatan.  Aku mula mengenal hadith dan ketenangan mula datang.  Aku mula dapat menghadapi dugaan selama ini dengan tenang.

Di antara guru-guru aku bertalaqqi hadith kebanyakan berjawatan di dalam Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan sangat berkelayakan. Ada yang bergelar Profesor dan ada yang MA ke atas dalam bidang hadith.

Setelah 8 bulan lamanya tibalah anakku dihantar ke IJN untuk pembedahan untuk menyempitkan saluran darahnya dijantung yang dibuat terlebih dahulu. Ketika itu anak aku berusia 8 bulan.

Hanya kepada Allah aku berdoa.  Sebelum pembedahan aku telah menerima zikir amalan secara ijazah dari seorang mudir pondok di Kelantan yang datang memberi kuliah di tempatku. Di dalam zikir itu ada doa-doa amalan yang aku jadikan sebagai kekuatan dan doa untuk pembedahan anakku berjaya.

Sebenarnya ketika ini ayahku sudah pulih seperti biasa dan ada bersama-sama aku mengikuti van ambulan hospital menuju ke IJN.

Aku sebenarnya telah membelanjakan sudah hampir RM 20 000 selama mana isteri dan anak-anak di hospital. Aku bukanlah senang sangat tetapi itulah duit yang aku telah berhutang di salah sebuah bank tempatan dan aku terpaksa berhutang sekali lagi kerana isteriku terpaksa bercuti untuk menjaga anakku setelah berjaya di dalam pembedahan.

Kalau tak silap aku, aku terpaksa membayar lebih RM 900 sebulan kerana hutangku yang entah bila akan habis.

Ya Allah! Engkau permudahkanlah aku untuk menjelaskan hutang ini.

Sehinggakan pernah salah seorang guruku berkata.  Bersedekahlah walaupun kita juga sangat memerlukan ketika itu, kerana ada rahsia tersembunyi yang pasti dengan izin Allah anda akan perolehi. Allah itu sangat pemurah dan galakkan orang lain juga bersedekah sekali. Kerana beberapa pengalaman yang aku telah perolehi sehinggakan aku sendiri tolong mengutip derma-derma. 

Kini anak aku sedang pula menunggu untuk rawatan jantung berlubangnya.

Semoga Allah menyembuhkannya  tanpa pembedahan.

Rupanya sekali lagi ujian untuk aku.  Ayahku kena stroke sebelah kiri dan terpaksa mendapat rawatan di hospital.  Semenjak itu aku mula menghidap darah tinggi yang tidak menentu.

Aku berdoa kepada Allah agar disembuhkan ayahku.  Alhamdulillah ayahku pulih setelah 2 minggu lumpuh sebelah badannya sehingga menghairankan doktor yang merawat secara susulan.

Tetapi ayahku tidak seperti dulu.  Aku sangat merindui agar ayahku cergas seperti asal agar ia dapat kembali solat berjemaah di masjid.

Isteriku mula bekerja kembali.  Aku pula meneruskan berguru secara bertalaqqi setiap minggu dengan ulama-ulama dari sebuah universiti tempatan.

Untuk menambahkan lagi ilmu yang sedikit ini, aku telah berguru dengan seorang maulana yang hampir 15 tahun di Darul Ulum Deoband dan berguru dengan seorang Sheikh yang merupakan ulama Bogor,Indonesia yang sekian lama menetap di Mesir.

Yang istemewanya ialah guru-guruku ini mengajar secara talaqqi di Malaysia secara mingguan dan bulanan.
Sehingga kini aku tetap kerani.  Aku pernah terbaca sebuah kisah seorang ulama bertaraf wali di Kelantan yang pernah menjadi kerani semasa mudanya.

Semoga kisah ini menjadi pembimbing kepada diriku dan menjadikan aku sentiasa teguh dan bersyukur kepada Allah SWT.